Monday, April 5, 2010

Kembalilah





Naim dah nak keluar bila tiba-tiba langkahnya terhenti. Dia patah balik ke bilik Daim. Abangnya sedang tekun mengaji Al Quran. Naim bersila di sebelah Daim. Diperhatinya wajah abangnya yang tenang menghabiskan bacaan.

"Abang ni tak letih ke dok beribadat tak henti-henti? Orang tengok pun letih." Naim nampak hairan.

"Kau tu enjoy siang malam tak letih ke?" Daim menutup kitab suci.

"Nama pun enjoy Bang, tak terasa letih bila hati senang." Naim jawab selamba. Nampak dia yakin dengan jawapannya, jawapan yang datang dari hati tak silap lagi.

"Aku pun gitu jugak, hati senang mana nak terasa letih." Daim dah jawab soalan awal Naim. Begitulah hakikatnya.

"Yelah, kita bila dah suka buat le sampai mati, tak puas-puas." Naim mengiakan kenyataan tu.

"Kau tu tak ingat mati ke? Bila la adik abang sorang ni nak insaf." Daim memperbetulkan duduknya menghadap Naim. Ditenungnya dalam-dalam wajah adiknya.

"Bukan taknak insaf Bang, orang nak enjoy life dulu, sementara usia masih muda, biarlah orang lihat dunia ni dulu, nanti bila dah puas orang lepak la kat masjid pulak." Naim tunduk. Jarinya menguis-nguis sejadah di depannya.

"Orang kejar dunia mana ada istilah puas, sedar-sedar mati aje. " Daim cuba mengingatkan Naim, peringatan yang entah ke berapa kali entah. Tak terbilang.

"Abang ni, rileks laa. Semua orang mati. At least biar lah orang hiburkan hati ni dulu, nanti-nanti orang pelan-pelan ikut Abang cari akhirat pulak, soal hati ni bukan boleh dipaksa-paksa, tak gitu?" Naim melarikan pandangannya. Tak kuasa nak dengar ceramah abangnya.

"Suka hati kamulah, memang takde paksaan tapi asyik dok ikutkan hati aje mana mau. Kena la lawan hawa nafsu tu, kena ada jihad. Kalau tak tu yang jadi jahat." Daim paut bahu Naim. Moga adiknya tahu yang dia sayang padanya.

"Mana ada orang buat jahat la bang. Orang enjoy tak kacau orang tau. OK lah, orang taknak kacau abang beribadat, Assalamualaikum wahai Abang." Naim capai tangan Daim. Disalamnya, siap cium lagi.

"Waalaikumsalam Dik." Daim jawab pelan. Matanya meleret melihat adiknya berlalu pergi. Pergi berfoya-foya bersama-sama teman sebayanya entah kemana memalam buta ni. Ni kalau tak subuh takde la nak balik.

---------------------------

Naim nampak kurang ceria malam ni. Entah apa yang menerjah kedalam kotak fikirannya membuatkan dia tak berapa nak enjoy malam ni. Hati dia tak happy. Jiwa dia ada terselit rasa sepi. Irama rancak disko tak dapat menghiburkan hatinya malam ni.

"Sampai bila aku nak hidup bergelumang dengan dosa macam ni? Astaghfirullahaladzim. Abang aku wara' orangnya, aku?...arak ada la. Buatnya dok baik punya tonggang sekali tertonggeng, kiok, kojol, kaput...Huiiii...Nauzubillahiminzalik!" kata hati Naim mencongak kebarangkalian. Segalanya mungkin.

"Tak boleh jadi macam ni. Aku kena cuba lawan hawa nafsu ni, sekali pun jadilah. Nak rasa macam mana Abang aku rasa. Aku dah rasa masam payaunya arak, apa salahnya aku rasa sekali apa rasa ibadat tu...manis kot?" entah kenapa terasa teringin olehnya untuk merasa apa yang abangnya rasa. Apa benar wujud nikmat disebalik ibadat? Apa sungguh apa yang dikatakan abangnya? Yang pasti abangnya tak pernah menipu.

"Ish...Mau ke Tuhan terima aku ek? Aku ni nak kata Islam memang le dalam IC tulis Islam tapi tu pejabat pendaftaran Malaysia yang tulis, masalahnya disisi Dia apa pulak status aku ek? Entah-entah kafir laknat kot? Astaghfirullahaladzim. Masuk neraka selama-lamanya kalau aku mati macam ni. Huiiii...macam ni tak boleh jadi." hati Naim semakin gementar mengingatkan ayat-ayat yang menceritakan keperitan neraka jahannam, apatahlagi untuk kekal didalamnya selama-lamanya.

"Wei kengkawan, aku balik dulu. Korang layan le amal maksiat ni ye, aku nak balik tobat." Naim angkat tangan dan angkat kaki, dia nak balik, nak kembali ke jalan yang lurus. Persetankan kengkawan yang sama sepersetanan, apa guna berkawan kalau semuanya mengheret dirinya ke pintu neraka.

"Kau biar betul ni Im! Takkan nak tobat dah kot? Kau ni buang tebiat nak mampos ke hape? Hahaha..." kata salah seorang kawan karib Naim macam tak percaya.

"Yelaaa...Kurang-kurang kalau mampos pun biarlah mampos dalam iman. Adios! Berambos!" Naim tak berpaling lagi. Lantak le apa diorang nak kata. Hati dia dah meronta nak keluar dari kegelapan disco yang menyesatkan ini.

----------------------------

"Apa la agaknya adik aku yang sorang tu dok buat sekarang? Mana kelab malam ke disko ke karaoke yang dia dok melepak memalam buta ni? Apa nak jadi la dengan sedara kandung aku yang sorang tu?" Daim berkata dalam hati. Daim baring di katilnya. Mata dia dah berat.

"Semoga Allah beri dia hidayat, tunjukkan dia jalan pulang, apa lagi yang mampu aku buat selain berdoa. Tegur dah tegur dah, siapa yang Allah beri hidayah takde siapa yang mampu sesatkan dan siapa yang Allah sesatkan tiada siapa yang mampu beri hidayah. Mintak-mintak le adik aku tu tergolong dalam mereka-mereka yang diberi hidayah hendaknya. Amin" Daim sempat memanjatkan doa untuk adiknya dan kemudian doa untuk dirinya, muslimin dan muslimat, yang masih hidup maupun yang sudah pergi.

------------------------------

"Semua dah selamat Pak Imam. Malam ni kita tahlil kat surau ye." Ucap Bilal Nabil pada Imam Ahmad. Kerja pengkebumian Allahyarham Naim berjalan dengan lancar. Para hadirin mula beredar dari tanah perkuburan. Diluar kelihatan beberapa orang luar bersongkok ala kadar memberi penghormatan terakhir kepada sahabat mereka yang pergi meninggalkan mereka sedang mereka leka bergembira memalam buta. Mereka tersentap dari alpa bila mendapat berita dari seorang teman yang terserempak dengan kereta Naim yang terbabas merempuh pokok.

"Ye lah Bilal. Kau ada nampak abang si mati? " Imam Ahmad bertanya Bilal Nabil akan saudara tunggal si mati. Walaupun mereka kembar namun perwatakan mereka jauh berbeza. Bak langit dan bumi.

"Ada kat kubur lagi dengarnya. Dia nak temankan adiknya sementara nak tunggu azan Asar." Bilal Nabil melangkah bersama Imam Ahmad menuju pagar perkuburan. Tugas mereka dah selesai. Fardu kifayah dah tertunai. Tugas Mungkar dan Nangkir menanti pengunjung terakhir melangkah meninggalkan kubur namun nampaknya kena tunggu sorang lagi yang masih setia menanti si mati yang bersemadi dalam bumi yang dihiasi bunga-bungaan.


----------------------------------

Wajah Daim tenang. Sesekali pandangannya dilontar jauh ke ufuk raya mensyukuri kebesaran Yang Maha Esa yang mengurniakan berbagai nikmat pada hamba-hambaNya yang tak mampu untuk disyukuri sepenuhnya seperti cuaca yang elok, angin sejuk yang berhembus, burung yang berkicau dan kesudahan yang baik untuk adiknya.

"Assalamualaikum dik, semoga Allah cucuri rahmat atas kamu. Tak sangka apa yang Abang mimpi semalam rupa-rupanya jadi kenyataan. Abang nampak kamu pakai jubah putih, cantik berseri-seri, rupanya hari ni jubah tu kain kapan. Abang tengok kamu senyum tenang dalam mimpi tu, sekarang kau dah kembali kepadaNya, abang pasti kamu juga sedang senyum kerana diberi limpah kurniaNya yang tak terhingga. Biar pun dinampakkan kamu pada zahirnya tertimpa bala namun abang percaya itu semua penyucian supaya kamu dapat kembali kepadaNya dalam keadaan suci murni. Berbahagialah kamu wahai adikku."

Daim bangun dan mengebas tanah di punggung. Sayup-sayup di bawa angin kedengaran seruan azan asar dari masjid berdekatan. Langkahnya tenang meninggalkan kubur Naim. Tenanglah kamu menjawab segala persoalan dua malaikat itu.

Innalillahi wainna ilaihi rajiun.

------------TAMAT-------------

5 comments:

  1. :) iman juga ada pasang surutnya semoga saya diberi kekuatan oleh untuk terus beriman dan tak mati dalam kesesatan

    ReplyDelete
  2. semoga Allah merahmati penulis

    ReplyDelete
  3. boleh tak ..saya nak copy? dan buat komik??
    kredit akan diberi pd abg nik

    ReplyDelete
  4. silakan ubay...semoga karya anda menyambung usha dakwah tak seberapa ini insyaAllah.

    ReplyDelete

Anda semua dijemput bermuzakarah, berbincang, berborak kat sini semoga bertambah ilmu kita hendaknya. Yang elok tu dari Allah yang tak elok tu dari hambanya ini yang lemah.