Thursday, April 22, 2010

Undertable vs Undertaker

Cerita ni takde kene mengena dengan sesape yang hidup maupun dah meninggal, sekadar buat pedoman untuk kita yang hidup sebelum pergi tak kembali...renung-renungkanlah.



"Amacam? Dapat projek yang kau kata hari tu?" Rosli angkat kening kat Jalal.

"Dapat mende. Hampeh!" Jalal buat muka bengang.

"Sabarlah Jalal, ada la rezeki kat lain tu" Rosli tau bukan senang nak sabar bila banyak duit, masa serta kederat dah habis dalam mengejar apa yang dikejarkan.

"Masalahnya diorang kata aku boleh dapat projek tu tapi kena la hulur-hulur sikit. Kata diorang zaman sekarang semua orang pakat hulur belaka. Bukan diorang mintak tapi kalau kedekut nak hulur tak dapat ler." Jalal merungut. Dah berapa kali dia berhadapan dengan masalah undertable ni tapi setakat ni dia tepis semua. Setakat ni le.

"Elok le gitu. Semua orang buat kerja haram kau pun kena buat jugak la ye?" Rosli sindir nak ingatkan kawannya.

"Takde la tapi kalau dah gitu aje caranya, dah kira darurat la kot. Boleh le kot ek?" Jalal dah makin geram. Dia tak nampak alternatif lain.

"Darurat ni bila dah tahap antara hidup dan mati aje la brader. Setakat nak kejar projek takde matinya kalau tak dapat pun." Rosli tau Jalal terdesak tapi takde lah sampai tahap darurat.

"Ni kira mati la jugak, mati akal. Tak tahu cemana nak bagi dapat. Camnilah, aku hulur je dulu, bila dah dapat karang aku tobat le, pastu bila dah ada duit boleh le aku buat amal jariah, sedekah sana-sini, rasanya boleh kot macam tu kot ek? Niat baik ni, jalan je kurang baik sikit, tujuannya baik cemana pun." fitrah manusia yang terlalu berkehendakkan sesuatu, asal jadi, asal jaya, apa cara tak apa. Jalal percaya dia boleh membetulkan apa yang salah demi tujuan yang betul.

"Aku tak berani komen. Setahu aku takde ustaz aku ajar boleh buat tak elok untuk niat yang elok. Kalau dah tak elok, tak elok le sampai ke sudah." Rosli tahu dia hanya mampu menasihati. Selebihnya, lu fikir la sendiri.

"Ustaz kau tu tak habis ajar kau lagi kot. Kot engkau banyak monteng kuliah tu yang kau terlepas bab ni kot...tengok cerita Robin Hood tu, mencuri dari orang kaya pastu tolong orang miskin. Dunia sekarang yang kaya makin kaya, yang miskin makin merana, kita kena la buat something, bukan ke ada ayat kata takkan berubah nasib sesuatu kaum tu kecuali diorang ubah nasib diorang sendiri kan? " Jalal bukan manusia jahil, namun ilmu yang ada boleh saja disalahguna.

"Engkau kalau nak ikut sunnah Robin Hood silakan, aku malas nak tegur kau dah. Ada aje point kau nak putar belit apa aku nasihat kat kau. Suka hati kau lah Jalal. Aku mintak diri dulu, layan kau sembang sampai pagi tak sudah." Rosli seriau. Kawan dia sorang ni dah sampai menggunakan ilmu agama untuk mengejar dunia, untuk melepaskan diri dari ajaran agama itu sendiri. Sesukahati dia aje nak menterjemah ayat ikut fahaman sendiri.

-----------------------------------

"Amacam sekarang?" Rosli hulur tangan. Salam disambut.

"Alhamdulillah. Rezeki mencurah-curah. Syukur Alhamdulillah. " Jalal senyum lebar. Wajahnya berseri-seri. Badannya dah sedikit berisi selepas sepuluh tahun berlalu. Rosli masih macam dulu lagi.

"Aku tengok kau sekarang dah jadi tokoh koperat. Bisnes mencanak-canak. Bila lagi nak pergi mengaji? Dunia semua dah dapat, kita cari akhirat la pulak." sambil matanya menikmati pemandangan pejabat kawannya yang berhias indah Rosli sempat lagi berseloroh. Dia turut berbangga dengan pencapaian kawannya yang dah sedekad tidak ketemu.

"Heheh...aku bukan taknak tapi aku sibuk sangat la bro. Tapi lima waktu aku tak tinggal, zakat semua setel, haji umrah dah pergi, alhamdulillah la...bab agama semua ok, ni dalam perancangan nak sponsor bina masjid kat kawasan taman aku tu, biar senang nak pergi dengar kuliah. Karang bila dah pencen aku ingat nak lepak masjid pulak, cover balik masa yang habis dengan duniawi ni." Jalal atau Datuk Jalal pada panggilan pekerjanya, bersandar di kerusi empuk dari Italy. Ada ayat-ayat suci berbingkai indah tergantung di setiap dinding pejabatnya, ayat Kursi dan ayat seribu dinar di antaranya. Ayat kegemaran untuk penjagaan dan kekayaan pada fahaman ramai orang.

"Masyaallah. Hebat kau bro. " Jalal kagum dengan kejayaan dan keadaan kawannya yang tampak mantap. Zahir dan batin. Dunia dapat, akhirat tak tinggal.

"Tu la pasal, ingat lagi tak masa mula-mula nak start dulu tu aku cerita kat kau pasal kisah 'undertable' tu. Kalau aku tak buat macam orang lain buat, tentu aku dah ketinggalan. Sekarang dah berjaya baru senang nak buat amal jariah. Dulu nak isi tabung masjid singgit sebelum sembahyang jumaat pun gigil, sekarang usahkan tabung, masjid aku bina. Hahaha..." Jalal berdekah sampai mendongak ke langit.

"Aku tengok kau sekarang dah lain la bro." perlahan suara Rosli menyusul setelah reda dekahan Jalal. Ada keraguan pada wajahnya.

"Memang le lain, dulu aku sengkek sekarang dah kaya. Dulu orang tak pandang aku sekarang aku dah tak pandang orang. Bukan nak berlagak tapi memang betul le tu, dulu lain sekarang lain." Jalal jawab jelas.

"Camnilah bro, aku nak cakap straight to the point ajelah. Aku tengok kau dah jauh dari jalan yang lurus. Sebagai kawan kau, aku kena cakap." Rosli serius. Ada perkara boleh dibuat jenaka, ada yang tak sewajarnya dipermainkan.

"Jalan yang lurus? Jalan macam yang kau lalu sekarang ke? Kau tu je yang lurus bendul kau tau tak. Kita hidup kat dunia ni kena pandai. Kena pandai ambik lap. Mana ada jalan yang straight memanjang. Kalau kau nak jalan straight jugak tu yang terjun gaung. Mana taknya, semua orang corner baring kau tegak aje. Come on la brader. Jangan jadi jumud. Ni le masalah orang Islam sekarang, nak ikut sunnah nabi tapi tak pakai otak. Nabi naik unta, takkan korang nak bawak unta kat highway sekarang kot? Hahaha...apa guna kita diberi akal fikiran. Pakai otak tu sikit!" Nada suara Jalal meninggi. Egonya tercalar. Reaksinya ialah mencalar semula. Ini wilayah dia. Tiada siapa yang boleh merendahkan dirinya dimana dia adalah empunya tempat yang menjadi singgahsananya. Rosli baginya dah melampaui batas.

"Astaghfirullahalazim. Tak baik kau kata camtu Jalal... bawak-bawak mengucap." Rosli terkejut dengan amarah sahabatnya yang sanggup menghina pegangan syahadahnya sendiri.

"Betul apa aku cakap. Facts! Tu sebab aku malas nak ikut kau pergi mengaji. Bertahun-tahun belek kitab tapi apa kau dapat? Aku tengok kau masih kat tahap lama, takde kemajuan. Memang la kena cari akhirat tapi dunia kau abaikan. Punyalah banyak rahmat tuhan terbentang kat atas mukabumi ni tapi kau tak ambil. Tak ke kufur nikmat namanya tu? Bukan aku nak pandang rendah kat kau tapi kau tu tak sedar, kau tu yang patut bawak mengucap." Jalal terus menyerang. Dilemparkan semula kehinaan ditambah tohmahan sebagai balasan teguran dari teman yang sekadar ingin menimbulkan kesedaran. Rosli tergamam.

"Aku mintak diri dulu bro, sesenang nanti aku singgah lagi insyaallah. Assalamualaikum" Rosli bangun meninggalkan kerusi empuk dari eropah.

"Tu lah dia, aku tegur sikit merajuk. Waalaikumsalam." Jalal bersandar bangga. Dia nyata berjaya untuk ke sekelian kalinya. Dia tak pernah kalah. Tangannya yang terdapang melingkar bahu kerusi dibawa ke dada. Ada denyut ganjil dalam rentak jantungnya.

-----------------------------

"Macam mana ni Pak Imam? Macam-macam hal nak uruskan jenazah ni. Nak bawak keluar hospital pun susah. Ada postmortemlah bagai. Pastu dengarnya urusan tanah kubur pun problem, bukan kariah sini le, tukang gali balik kampung, entah le." Pak Hasan, driver Datuk Jalal bertanyakan pada Haji Ilias, imam di surau berdekatan dengan pejabat.

"Ahli keluarga dia semua dah tahu tak?" Haji Ilias sekadar singgah ke pejabat bila dipanggil Pak Hasan yang juga ahli jemaah di surau.

"Dengarnya ada orang kat pejabat dia telefonkan masa dia collapse semalam, katanya diorang kat Australia sampai hujung minggu ni, anak dia graduation katanya. Bila dah kompom meninggal, bila call, boleh pulak diorang suruh kita uruskan semuanya sebab kononnya kalau diorang balik pun sama aje, diorang bukan tahu nak buat apa pun. Siap cakap yang dah mati biar le mati, bukan boleh hidup balik. Orang zaman sekarang, mati macam takdepape. " Pak Hasan menceritakan al kisahnya yang menimpa si mati, ada kekesalan terselit di nada suara tuanya.

"Habis tu? Masuk peti sejuk le nampaknya ye?" Haji Ilias menggaru janggutnya yang tak gatal.

"Gitulah lebih kurangnya. Nak buat cemana." Pak Hasan sekadar angkat bahu. Apa lagi yang mampu dibuatnya.

"Sedara mara? Takkan takde sesapa datang tuntut?" Haji Ilias masih hairan.

"Tuntut mayat belum tapi dengarnya pakat berkejar pergi pejabat peguam ada la, pakat nak tuntut bahagian masing-masing. Harta si mati banyak, pakat-pakat kekah le tu." Pak Hasan menggelengkan kepala pada ironi yang menimpa si mati, usahawan berjaya yang pada zahirnya nampak beriman lagi dermawan.

"Tu le pasal. Cari harta dunia untuk orang lain, harta akhirat untuk diri sendiri Allah je yang tahu berapa banyak dibawa masuk kubur. Tu belum tapis mana-mana yang bercampur dengan riak, takbur, suma'ah, memacam lagi. Nak buat cemana, orang zaman sekarang asal reti berjalan aje terus diajar kejar dunia. Takde nak belajar agama dulu. Pastu berangan nak mengaji bila dah pencen, bila dah senang, bila dah dapat dunia. Tau-tau dah keras kejung, ni masuk pulak dalam peti ais, lagi leee. Innalillahiwainnailaihirajiun."

Tamat.







3 comments:

  1. Bestlah cerpen ni, ayat selamba tapi penuh maksud tersirat. Tajuk pun stylo.

    ReplyDelete
  2. salam en.nik yg budiman, kacak bergaya disukai ramai. gua ni peminat ujang dari ujang no.1 sampai skrg xpernah lagi miss beli, pinjam gua xmain ok..cuma mslh gua skrg ialah edisi ujang keluaran yg awal dulu telah hilang dr simpanan gua, so persoalan disini ialah, bagaimanakah caranya gua boleh dptkan kembali mjlh2 tersebut. RM20 sebijik pun gua sanggup byr. Tapi jk nak bg RM2 sebijik itu lagi baik. Sekian en. nik. Atau sesiapa yg ada dan nk jual tu blh hubungi gua di kooreen79@yahoo.com. tq much2

    ReplyDelete

Anda semua dijemput bermuzakarah, berbincang, berborak kat sini semoga bertambah ilmu kita hendaknya. Yang elok tu dari Allah yang tak elok tu dari hambanya ini yang lemah.