Wednesday, July 7, 2010

LIFE AT 40


“Umur aku tahun ni genap 40 tahun” Mamat menghitung umurnya berdasarkan harijadi yang baru diraikan minggu lepas.

“Life starts at forty” Jalil tersenyum. Rakan sebayanya baru sedar bahawa usia mereka bukan belia lagi namun pepatah inggeris itu sedikit sebanyak merubah persepsi.

“Ye lah tu, kalau ends at forty cemana?” ada sedikit kesedaran dalam diri Mamat tentang kemungkinan sebaliknya.

“Cemana cemana? Kalau dah ajal nak kata macam mana, jalan daa!”mudah saja jawapan Jalil seolah hidup dan mati hanya on dan off pada suis peralatan letrik.

“Senang cakap sebab bernyawa lagi, buatnya kita yang jalan, apa cerita?” Mamat benar-benar bermaksud akan apa yang dikatakannya. Soal hidup dan mati bukan perkara mudah.

“Hmmm…tu la pasal. Kita ni dah sebati dengan duniawi. Bila tiba masa nak meninggal dunia, payah nak cerita.” Jalil menyatakan kebenaran yang umum pada zaman sekarang. Hal-hal akhirat jarang dipersoalkan melainkan bila ada kematian atau majlis perkahwinan.

“Aku jadi seriau bila fikir-fikirkan benda ni, buatnya memang dah tertulis hayat aku memang setakat 40 aje, apa benda aku nak bawak masuk kubur? ASN? ASB? Simpanan apa yang berguna untuk aku bila dah kaku?” ada secebis persoalan yang menjentik hati nurani Mamat yang selama ini sepi dari mengambil pusing tentang hidup selepas mati.

“Simpanan apa bendanya, benda-benda duniawi mana ada nilai kat sana Mamat oi. Kalau ada pun yang mana kau dah belanjakan untuk sedekah, untuk belanja ke jalan Tuhan, itupun kalau niat kau ikhlas. Yang kau simpan dalam bank tu dapat kat orang hidup. Kau dapat penat aje.” Jalil memperjelaskan dengan sejelas-jelasnya akan hakikat yang sebenar. Apa yang mereka usahakan selama ini tiada yang dapat membantu disana nanti.

“Kau macam nak pekenakan aku pulak Jalil, buatnya kau yang jalan dulu baru padan muka. Kau tu pun apa kurangnya, dah cukup ke bekalan nak masuk kubur?” ujar Mamat sinis. Jalil mungkin ada latarbelakang sekolah agama namun kehidupan hariannya tak mencerminkan apa yang dipelajarinya.

“Cukup tu tak lagi kot tapi kalau nak banding dengan kau aku banyak sikit kot, hahaha…” seloroh Jalil selamba.

“Peeegidah, dua kali lima aje kau ni pun. Bukak mata sampai pejam balik asyik dunia-dunia-dunia...akhirat atas sejadah ada la tak sampai sepuluh minit dalam sehari, itupun otak ligat dok ingat kat kerja dunia, itu kau nak kata bekal bawak ke akhirat? Suuudahlah.” Mamat bengang. Dia kenal sangat teman sepejabatnya tu. Mereka sama-sama anak jati dunia yang lupa akan janji untuk kembali ke rahmatullah, janji yng pasti walau tidak siapa tahu bila.

“Dah tu apa cerita kita ni? Takkan nak selama-lamanya macam ni? Sampai bila kita nak sembang pasal masuk kubur tapi amalnya takde jugak, takkan nak sampai betul-betul duduk dalam kubur baru nak menyesal?” Jalil bertanya pada Mamat soalan yang dia sendiri tidak tahu kesinambungannya, soalan yang akan hanya tinggal soalan atau ada langkah susulan.

“Tu yang aku dok risau ni. Dah dekat 40 tahun usia aku habiskan untuk apa entah. Ni pun mujur bernafas lagi, entah esok lusa bernyawa lagi ke tidak belum tentu. Aku rasa dunia ni kejar sampai bila-bila pun tak habis, aku ingat nak tukar kejar akhirat lah pulak.” Mamat benar-benar tampak risau. Dahinya berkerut bak batas sayur.

“Eloklah tu Mamat. Sempena ulangtahun usia kau yang dah nak senja ni ada baiknya kau kembali ke pangkal jalan. Aku tumpang gembira.” Jalil macam tak terkesan dengan apa yang dibincangkan tadi.

“Aik? Tumpang gembira aje? Tumpang pergi masjid ada jugak faedahnya, kurang-kurang aku ada jugak geng pergi mengaji lepas maghrib.” Mamat makin berkerut walau ada sengih diwajahnya yang cuba membayangkan niat teguran sinisnya.

“Heheh, aku bukan taknak Mamat, tapi masjid-masjid ni bukan tempat aku. Kau pergi dulu, nanti bila sampai seru aku menyusul.” Jalil menolak lembut kerana dia akui hatinya masih keras. Tompok hitam dipermukaan hatinya sekelam tompok hitam diparu-parunya kesan rokok bertahun-tahun.

“Yelah, apa-apa pun nanti aku inform kat kau apa yang aku belajar dari masjid tu karang. At least, aku dapat jugak buat pahala sampaikan ilmu yang aku dapat kat kau tak gitu?” Mamat tak kesah, mungkin suatu masa Jalil akan bersama-sama dengnnya kembali mencari jalan pulang.

“Cantik sangat le tu. Oklah, aku nak sambung kerja duniawi, Assalamualaikum” Jalil berlalu. Waktu makan tengahari dah berlalu.

“Assalamualaikum, ni kaunter apa ni Encik?” Jalil terpinga-pinga. Dia tak tau dia berada dimana.

“Sila duduk Encik Jalil. Ada bawak borang taksiran?” Seorang pegawai yang berwajah bersih bercahaya mempelawanya duduk. Jalil masih teragak-agak untuk duduk. Kelihatan wajah-wajah muram memenuhi ruang menunggu.

“Borang taksiran? Maaf Encik, saya pun tak tahu kenapa saya ke sini.” Jalil terpinga-pinga.

“Tak mengapa, saya ada fail encik kat sini. Encik Jalil Bin Jamil. Sila duduk encik.” Pegawai di balik kaunter membelek-belek fail yang terbentang.

“Ni jabatan apa ni cik?” Jalil cuba mencari sedikit kenyataan disebalik keadaan yang cukup asing baginya. Dia tak ingat barang sedikit pun memori kehadirannya ke tempat sebegini.

“Jangan risau Encik Jalil, semua orang kena melalui jabatan kami sebab nak hitung asset yang terkumpul sebelum fail-fail ni dihantar ke bahagian yang lebih tinggi. Hmmm...ikut fail peribadi ni, umur Encik Jalil 40 tahun masuk tahun ni ye?”

“Ye saya. Kenapa?”

“Takde apa-apa. Cuma saya hairan kenapa tak banyak asset yang terkumpul walau dah lanjut usia. Kalau budak baru baligh saya fahamlah, ni dah jadi bapak budak. Akaun hutang bukan main banyaknya. Ni boleh kena declare bankrap ni Encik Jalil.”

“Hah? Biar betul! Cuba encik cek betul-betul. Saya bab financial takde yang kantoi. Semua tip-top. Loan semua saya dah setel. Saham saya beratus ribu. Insuran semua cukup. Mana boleh bankrap!” Jalil terkejut. Mukanya merah padam. Perkhidmatan apakah ini hinggakan segala apa yang diusahakannya selama ini tidak dicatitkan.

“Jangan cepat marah Encik Jalil. Cuba Encik baca nama jabatan yang tertulis kat dinding belakang ni…Jabatan Hasil Dalam Kubur, atau pendeknya JHDK. Semua asset yang Encik Jalil sebutkan tadi tak diambil kira disini. Semua tu untuk bahagian orang yang masih hidup. Di sini kami kira asset akhirat yang terkumpul hasil amalan soleh yang ikhlas sahaja.” Dengan wajah yang tenang pegawai disebalik kaunter itu memperjelaskan situasi sebenar. Nyata ini bukan berkaitan urusan duniawi.

“Biar betul!”Jalil tetap tak setuju,

“Kalau macam tu, cuba Encik cek derma ikhlas saya yang beribu-ribu ringgit untuk fakir miskin masa majlis berbuka puasa tahun lepas. Kan banyak tu. Takkan itu pun takde dalam rekod kot?” walau apa yang menjadi persoalan, duniawi mahupun ukhrawi, Jalil pasti ada pelbagai amal makruf yang telah dia lakukan.

“Perkara tu ada disebut dalam rekod tapi bukan bawah tajuk amal soleh tapi amal riak, amal kerana nak menunjukkan pada orang yang Encik ni orang yang kuat beramal, maknanya amal tu bukan membantu tapi menyusahkan lagi ada lah. Ada apa lagi yang Encik Jalil nak declare?”jawab pegawai itu tenang. Air wajahnya sedikit pun tidak terjejas dengan kemarahan yang dipertontonkan.

“Errr…saya solat lima waktu tak pernah mis. Takkan tu pun tak membantu?” Jalil kehabisan modal. Dia teringat perkara yang paling pokok dan pertama-tama akan diperiksa dalam kubur ialah solat lima waktu. Dia yakin masih ada ruang untuk dia menyelamatkan batang tengkuknya.

“Memang dalam fail ni ada tulis solat Encik Jalil jarang yang mis. Kalau banyak mis memang kami tak berkompromi, silap-silap takde proses penilaian macam ni langsung, terus masuk api. Sebab itulah kami nak tolong Encik Jalil memperelokkan fail peribadi ni supaya dapat mengelakkan siksa-siksa yang mungkin Encik Jalil hadapi andai pegawai jabatan ajal kami membuat kunjungan mengejut untuk penutupan fail kehidupan alam duniawi Encik Jalil. Jadi nasihat saya, encik masih ada peluang untuk memperbaiki dan memperbanyakkan lagi amalan soleh sementara masih ada masa dan usia dan saya harap encik berusaha bersungguh-sungguh kerana apa yang saya nampak kat sini encik banyak menghabiskan masa untuk mencari harta dunia sedangkan semua itu tak berguna sikitpun untuk timbangan akhirat kecuali apa yang Encik belanjakan kerana Allah dan untuk jalan Allah. Banyakkan solat, banyakkan sujud, banyakkan ingat yakni zikir pada Allah dan selawat buat Nabi sallallahualaihiwasallam. InsyaAllah Encik akan menikmati semua amal soleh yang Encik usahakan diakhirat nanti yang kekal abadi. Itu janji Yang Maha Esa dan Dia tak memungkiri janji.Ada apa lagi nak tanya?” panjang lebar penerangan dan nasihat pegawai berkenaan membuatkan Jalil tersandar pasrah. Ternyata dia telah mensia-siakan umur yang diberi untuk perkara-perkara yang sementara manakala bekalan untuk negeri yang kekal abadi tak pernah diberi perhatian yang sewajarnya. Terasa dirinya bodoh yang amat.

“Errr…lama lagi ke saya nak mati?” Jalil perlu tahu berapa lama lagi dia ada untuk merubah keadaannya.

“Kalau nak kira nombor giliran Encik Jalil belum sampai lagi, tu yang saya hairan tu. Kebetulan saya ada fail Encik kat sini lepas tu Encik pulak dah ada kat kaunter ni, tu yang saya layan jugak. Takpelah, anggap aje ni sebagai penilaian tak rasmi, muhasabah atau taksiran awal. Bersyukur ajelah walau berapa lama usia yang berbaki dan jangan tunggu terlambat baru nak taubat. Assalamualaikum.”

“Jalil! Woih! Kau dah zohor belum? Kalau ye pun nak membuta time kerja tutup le pintu bilik, malu sikit kat anak buah lalu lalang kat luar tu.” Mamat mengejutkan Jalil yang terbaring di sofa dalam bilik pejabatnya. Jalil terbeliak melihat keliling. Dia seperti orang baru nampak hantu.

“Aku tertidur ye Mamat?” Jalil masih terpinga-pinga.

“Eh takdelah, kau tadi buat kerja memproses tahi mata untuk dieksport. Dah tu apa kebendenya. Jom solat sekali, kau belum Zohor lagi kan?” Mamat mempelawa Jalil berjemaah. Dia nak mulakan hidup baru.

“Alhamdulillah...Hidup lagi aku rupanya. Subhanallah!” Jalil menadah tangan dan meraut muka dengan penuh kesyukuran.

“Ha-ah, Hidup selepas mati, tidur mati baik punya time kerja. Cantek sangat le tu!” Mamat nak tergelak melihat gelagat Jalil yang macam orang baru bangkit dari kubur.

“Apa kata kita pergi masjid, kita Zohor kat sana sambil tunggu Asar?” Jalil nampak beria sangat seolah inilah antara solat-solatnya yang terakhir atas dunia ini.

“Biar betul kau ni Jalil? Buang tebiat nak mampus hape? Aku ok aje, ingatkan aku sorang je nak start life anew. Syukran. Sampai jugak seru member aku sorang ni. Alhamdulillah.” Mamat tersenyum gembira.

Jalil bangun menyelongkar laci meja. Dicapainya ketayap yang terselit didalamnya. Langkahnya pantas menuju pintu pejabat. Mamat kehairanan namun dia gembira. Jalil menghidupkan enjin kereta. Mamat berlari-lari anak mendapatkan temannya yang tak sabar-sabar untuk memulakan hidup baru.

TAMAT

3 comments:

  1. Assalamualaikum bro..bole tahan la cerita2nye...teruskan usaha2 murni..hehehe

    ReplyDelete

Anda semua dijemput bermuzakarah, berbincang, berborak kat sini semoga bertambah ilmu kita hendaknya. Yang elok tu dari Allah yang tak elok tu dari hambanya ini yang lemah.