Nun tinggi hampir di puncak Gunung Ledang, terlihat akan daku seorang tua berjanggut putih sedang bertafakkur di atas batu besar, mata terpejam, tersergam tenang bagaikan sebahagian dari alam yang senantiasa bertasbih kepada Penciptanya.
Aku teruskan dakian. Menghampiri makhluk mulia yang seolah tidak sedar akan kehadiranku disisinya, aku terus berikan salam sebagai penghormatan. Salam berbalas, namun beliau tetap pegun bersila disitu, jika tidak kerana janggut dan misainya yang berhayun, tentu saja ku sangka suara itu datang dari alam di sekeliling.
“Lama dah Atok bertapa?” Aku membuka bicara, sekadar soalan pembukaan untuk menduga ketinggian ilmu insan mulia ini. Tidakku sangka pencarian seorang guru mursyid yang jarang diketemu diakhir-akhir ini berhasil setelah berhari-hari menjejaki hutan, gunung serta jeram yang benar-benar menguji kesabaran serta ketabahan hati.
“Lama la jugak.” Sang Petapa berbicara. Walaupun ringkas namun cukup mengagumkan. Nyata manhaj keilmuannya terpancar dari tuturkatanya yang mengisi usul dengan sekadarnya.
“Tak boring ke?” Menjadi enigma bagiku keadaan petapa yang mampu bertafakur untuk jangka waktu yang panjang, apa mungkin mereka berada di alam lain meninggalkan jasad berteleku di atas batu.
“Tak sempat nak boring.” Sang Petapa nyata bukan sebarang orang. Mungkin bagi orang biasa akan bosan tahap cipan, namun bagi mereka tidak termaktub istilah bosan dalam perbendaharaan kata jiwa mereka.
“Iyye? Macam mana tu?” Aku terlalu ingin untuk menyelami jiwa murni mereka, apa rahsia mereka, apa yang mereka rasa. Kalau boleh aku ingin jadi sehebat mereka, petapa mulia, pemilik jiwa yang tenang, insan kamil yang akrab dengan Penciptanya.
“Entah le, engkau dah lama kerja?” persoalanku dibalas dengan persoalan seumpamanya. Hebat.
“Lama la jugak” Jawabku ringkas.
“Boring?” Aku disoal lagi.
“Kekadang.” Aku menjawab ringkas lagi.
“Kenapa?” Sang Petapa mengusul dengan tenang. Mata masih tertutup. Tidak bergerak.
“Buat benda sama hari-hari, mau tak boring.” Aku membetulkan duduk ditepinya. Tidak begitu rapat, setingkat lebih rendah, diatas batu disisi batu gergasi tempat si petapa bersila penuh karamah.
“Hmmm...sibuk?” Sang Petapa meneruskan persoalan. Adat bertanya pada orang berilmu, lebih banyak persoalan dari jawapan. Dalam soalan ada jawapan.
“Selalunya sibuklah. Nama pun kerja.” Jawabku ikhlas.
“Dalam sibuk pun boring?” sekilas usul dari makhluk ajaib ini membuka minda. Asalnya mempersoalkan pertapaan yang membosankan, kini kehidupanku nyata lebih azab lagi.
“Kalau tak boring, tension la pulak...stress.” Aku termangu. Diriku umpama buku untuk dibaca. Tiada guna berselindung.
“Pernah terfikir nak berhenti kerja?” Apa mungkin orang tua ini mampu memberi jawapan serta penyelesaian bagi seribu satu permasaalahan hidup yang aku hadapi? Ketenangan yang terpancar dari raut wajah serta diam dirinya dalam bertapa membuktikan ketinggian martabatnya, dibandingkan dengan diri ini, bak langit dan bumi.
“Selalu la jugak especially bila tension tapi kalau tak kerja nak makan apa?” Aku memberi alasan, memang hidup aku penuh dengan alasan.
“Yakin sungguh kerja dapat beri kamu makan?” Sang Petapa meneruskan persoalan demi persoalan.
“Errr…lebih kurang begitulah.” Aku tak berapa yakin dengan jawapan yang aku berikan.
“Maknanya kamu diciptakan untuk jadi seorang pekerja.” Dia membuat satu kesimpulan untuk menggambarkan keadaanku. Tidak pernah aku terfikir sampai ke situ.
“Eheh…kalau dah kaya tak payah la kerja, sementara tu kena la kerja.” Dengan selambanya aku menepis kenyataan orang tua itu dengan satu lagi kenyataan yang pada fikiranku ada bernasnya. Terasa diri tidak sebodoh mana.
“Kalau macam tu matlamat hidup kamu ialah untuk jadi kaya?” Dalam tenang diulit angin bukit yang menderu orang tua misteri itu menyimpulkan kenyataan yang teramat benar bagi kebanyakan manusia di mukabumi ini. Semuanya berangan nak jadi kaya, tak dinafikan lagi.
“Siapa tak nak jadi kaya, tak gitu?” Jawabku dengan senyuman. Aku yakin itulah kebenaran hakiki dalam dunia materialistik ini.
“Bila dah kaya, apa matlamat kamu?” Sang Petapa masih meneruskan persoalan. Kaya bukan destinasi, bukan matlamat akhir.
“Berehat dari kejar dunia kot, boleh tumpu pada kerja akhirat.” Aku beri jawapan selamat. Hendak aje ku jawab “ Apa lagi, enjoy life la brader!!!” namun ku asak kata-kata liar itu jauh ke lubuk hatiku yang gelap. Ini bukan tempatnya. Aku perlu hormat pada orang tua ini.
“Selagi belum kaya kamu jadi hamba dunia?” Satu lagi pukulan yang padu lagi pedih dalam dia menyimpulkan perkataan yang mempersoalkan apa yang aku jawabkan tadi. Nyata jawapan selamatku juga belum dapat menyelamatkan aku dari pandangan makrifat orang tua magika ini.
“Takde la sampai tahap hamba, sekadar kerja kuat aje.” Aku memperbetulkan pandangan. Tidak rela aku digelar hamba dunia walau pada hakikatnya memang benar.
“Rasa-rasa kamu, bila kamu boleh jadi kaya?” Sang Petapa mahu aku membuat suatu unjuran, suatu andaian yang aku sendiri tidak pernah terfikir walau selalu diangankan. Sememangnya mudah berangan tapi belum tahu bila yang diangankan mampu dicapai.
“Bila umur lima puluh kot, itupun kalau semua berjalan dengan baik.” Aku main tembak aje. Kalau dibuat kira-kira berdasarkan faktor ekonomi makro dan mikro, rasanya sampai mati pun tak kaya-kaya. Setakat nak berlagak kaya dengan hutang berjuta itu ramai dah berjaya.
“Kalau macam tu, katakan umur kamu ada enam puluh tahun, kamu hanya ada sepuluh tahun untuk cari Allah, lima puluh tahun kamu dah kamu habiskan cari dunia. Itupun kalau semua berjalan baik.” Satu perhitungan paling dasar dikemukakan oleh seorang tua yang pegun diatas batu besar didalam hutan menghampiri puncak gunung. Sebuah kenyataan yang menggerunkan.
“Adus…bila dah letak camtu, nampak sangat membesarkan dunia sangat bunyinya.” Aku sekadar pasrah. Benar kata-kata Sang Petapa. Aku memang hamba dunia.
“Sebab tu le sesekali kena bertapa, tinggalkan dunia yang tak berharga ni untuk cari Allah.” Saran si petapa. Suatu kebenaran yang tidak mudah untuk dilakukan. Entah berapa lama telah dia luangkan masa bertapa, sepuluh tahun atau mungkin lebih, wallahua’lam.
“Tu yang payah tu, cemana nak tinggal kerja, keluarga, semua urusan dunia untuk bertapa?” Terasa diriku tidak upaya. Fikiran buntu. Apa mungkin aku boleh mengubah nasib diri ini aku sendiri tidak pasti.
“Kamu solat?” Tanyanya ringkas.
“Ye, tak tinggal.” Jawabku tangkas walau selalu juga solatku bungkas. Kira pukul rata, lebih kepada benar walau bukan sebenar-benarnya.
“Alhamdulillah. Betul dah tu.” Seolah ada senyuman dalam perkataan yang diberikan.
“Apa yang betulnya?” Aku kehairanan.
“Kamu je tak tau kamu tu seorang petapa.” Sang Petapa mengatakan aku yang tak senonoh ini seorang petapa dalam tidak aku sedari? Apa benar kata-katanya atau sekadar nak menyedapkan hati seorang pengembara yang keletihan dalam mencari secebis jawapan tentang kehidupan?
“Petapa? Macam mana?” Aku perlukan penjelasan.
“Kamu bertapa lima kali sehari semalam di atas tikar sejadah, lima kali sehari semalam kamu tinggalkan kerja, keluarga serta semua urusan dunia untuk menghadapkan diri pada Allah. Betul dah tu. Solat sungguh-sungguh. Kamu takkan rugi.” Kata-kata Sang Petapa yang dimuliakan ini seolah menerajang pintu akalku yang selama ini tertutup rapat. Terlalu rapat sehingga tiada ruang udara lalu membuat akalku mati. Kini pintu ini terbuka seluas-luasnya sehingga terpancar cahaya kesedaran menerobos seluruh pelusuk hati.
“Oh...gitu ke? Tak payah panjat gunung?” Tak ku sangka masih ada lebihan kejahilan keluar melalui mulutku. Biarlah ini menjadi kata-kata bodohku yang terakhir.
“Jasad boleh berada di mana sahaja diatas dunia, baik di atas gunung, di dalam hutan, malah di tengah lautan sekalipun tapi jika hati tidak bersama Allah, apakah gunanya? Kamu walaupun di pejabat, di dalam kereta, di tengah traffic jam sekalipun, bila mana hati kamu bersama Allah berpanjangan, itu lebih baik jika kamu tahu.” Dengan tenang dan sabar orang tua yang arif lagi keramat ini menaburkan mutiara kata-kata yang begitu berharga. Aku terkesima. Terpaku melihat cahaya keilmuan yang memancar melalui mulut Sang Petapa Mulia. Sungguh indah sekali. Penawar hati nan gundah. Kunci khazanah ilmu yang begitu mewah.
“Ayah, jom balik.” Satu suara asing tiba-tiba mencelah.
“Mak kamu dah puas piknik?” Sang Petapa Mulia menoleh kesisi. Matanya yang redup akhirnya dibuka untuk berbicara dengan seorang budak perempuan belasan tahun yang memaut bahunya dengan manja.
“Nampak macam nak hujan.” Kata budak itu sambil matanya merenung ke langit yang semakin kelam.
“Pakcik balik dulu.” Orang tua itu bingkas bangun lantas berjalan berpimpin tangan dengan anak perempuannya menuruni batu. Aku masih terpaku. Kulihat Sang Petapa berjalan menghampiri isterinya yang sedang berkemas untuk pulang, barang sepuluh ela dibelakang tempat keramat dimana aku berpeluang berbicara dengannya. Tikar digulung, mangkuk tingkat disusun, raga berisi mangkuk pinggan disamping pelastik berisi tuala basah dibimbit. Sang Petapa berlalu pergi bersama keluarga menuruni denai yang menyelosori kawasan perkelahan air terjun tidak jauh dari tempat aku berada.
Di kejauhan aku lihat Sang Petapa Mulia berkalih ke arahku. Tangannya diangkat seolah memberi lambaian yang penuh bermakna. Aku membalas lambaiannya. Aku mengambil peluang untuk duduk di atas batu keramat ini, melihat keindahan alam ciptaan Ilahi dan cuba untuk menghayati setiap kata-kata yang dihadiahkan oleh yang Maha Esa melalui pertemuanku dengan Sang Petapa Mulia.
Selesai.
0 comments:
Post a Comment
Anda semua dijemput bermuzakarah, berbincang, berborak kat sini semoga bertambah ilmu kita hendaknya. Yang elok tu dari Allah yang tak elok tu dari hambanya ini yang lemah.