Sunday, May 1, 2011

Thank You Allah...Thank You All

101 REKREASI HATI di PWTC

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana melimpahkan rahmatnya yang tak putus-putus pada hamba-hambaNya yang tak selalu dan sering putus-putus ingatan kepadaNya

Semalam sempat saya dan isteri menghadirkan diri ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC setelah diberitahu bahawa Ustaz Zahazan akan ada bersama bagi sesi menandatangan buku 101 Rekreasi Hati. Walaupun Ustaz sibuk dengan berbagai undangan serta program namun beliau tetap menghadirkan diri untuk menemui peminat beliau yang sungguh teruja melihat kelibat beliau.

Ribuan terima kasih buat semua yang sudi membeli buku karya kami yang tak seberapa dan kami difahamkan bahawa buku 101 Rekreasi Hati telah habis dijual sebelum sempat sesi book signing dijalankan. Bermakna mereka yang mahu mendapatkan tandatangan perlu mendapatkan buku tersebut digerai-gerai lain kerana stok telah tiada untuk hari berkenaan. Kami juga difahamkan bahawa sambutan amat memberangsangkan sehingga wakil penjual mengkhabarkan bahawa inilah tsunami pembelian buku yang jarang berlaku dalam sejarah jualan buku di Pesta Buku sebegini.

Sesi di petang sabtu itu diakhiri dengan minum petang bersama Ustaz Dr. Zahazan dan keluarga serta warga kerja Telaga Biru di Riverside cafe PWTC dan sempat disertakan disini gambar kenang-kenangan disana sebelum berangkat pulang. Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepada kami. Terima kasih Allah...tidak lupa, selawat dan salam kepada junjungan kita Sayyidina Muhammad Sallallahualaihi wasallam, keluarga serta sahabat baginda yang mulia.

Friday, February 18, 2011

Hakikat Adam

Kulihat api
membakar diri
membara dendam
menjulang ke hati
terbakar dalam geram
mazmumah yang memamah diri anak Adam

Kulihat air
menenggelam semangat
menghanyut jiwa
meluntur iman
tenggelam dalam hidup
melemaskan diri anak Adam

Kulihat angin
menghembus tohmah
meniup fitnah
mengibar sangka
terhambur debu dosa
menerawang fikiran anak Adam

Kulihat tanah
membenam hati
mengambus diri
menumbuh duniawi
terkubur impian rohani
mengotori jiwa anak Adam

Kufikir
kupasti
inilah unsur diri
bahan bina jasad Adam
hakikat yang mengelirukan malaikat


Kemudian

Kulihat api,
bercahaya menerangi hati,

Kulihat air,
membasahi pipi,

Kulihat angin,
menghembus kalam rabbani,

Kulihat tanah
mencecah dahi sujud ke bumi,

Lalu
kufikir
mungkin inilah
hakikat si Adam
yang mana hanya Allah
tahu akan rahsianya.