Friday, September 26, 2008

Tragedi Syawal




“Hari ini nak beli apa pulak dik?” Tanya along pada angah.

“Long, dari semalam orang nak makan mee jawa. Hah! Makcik tu juallah.” Angah teruja.

Along dan Angah menuju ke gerai mee jawa makcik Hasnah. Angah senyum melebar bila dia bayangkan yang dia akan berbuka dengan makanan kegemarannya. Tapi tiba-tiba dahinya berkerut. Angah menghensot merapatkan dirinya pada Along.

“Assalammualaikum, suka mee jawa ye. Kite pun suka. Makcik, cik adik manis punya ni saya bayar sekali, saya pun nak sebungkus.” Shah Fikri senyum lebar bila ditakdirkan bertemu dengan gadis pujaannya.

“Makcik, ni duit mee jawa saya.” Angah menjeling pada Shah Fikri.

Angah menarik tangan Along ajak beredar dari situ. Angah melangkah besar-besar agar dia jauh dari budak lelaki yang sering mengganggunya.

“Hilang pahala puasa orang hari ini. Along makanlah mee jawa tu, orang dah takde selera.” Beritahu Angah ketika mereka berbuka puasa.

Selepas solat sunat tarawikh, Angah dan Along turun ke dewan makan untuk membantu menghidangkan morei pada malam itu.

“Ngah, tolong makcik ambil cerek air kat belakang, tadi makcik jerang kat belakang sebab suis kat sini dah rosak.” Makcik Seri adalah mak saudara kepada Along dan Angah.

Tanpa berlengah lagi Angah ke belakang untuk mengambil cerek. Angah menutup suis dan menarik plak.

“Takpe, biar kite tolong angkat. Berat ni.” Shah Fikri terus mencapai cerek itu.

“Huh! Sibuk betul!!!” Angah mendengus.

Angah membesarkan langah dan terus ke dewan makan dan tinggalkan Shah Fikri di belakang.

“Mana cereknya, Ngah. Air tadi tak cukup tu. Cepatlah!!” Makcik Seri menegur.

“Ni hah! Saya bawakan. Kesian Angah nak angkat cerek yang berat ni. Lain kali Angah minta tolong kite je.” Shah Fikir menghulurkan cerek pada Makcik Seri.

Makcik Seri tersenyum melihat gelagat anak-anak muda. Dia tahu kedua-dua anak saudaranya yang dijaga semenjak mereka menjadi yatim piatu itu memang di gilai pemuda di kampung itu. Mereka berdua bukan sahaja cantik malah meeka adalah pelajar tahfiz yang mengkagumkan. Kebolehan mereka ini memang satu anugerah ilahi. Angah hanya perlu mendengar sekali dan dia akan menghafal segala ayat-ayat al-quran malah apa sahaja puisi, sajak atau lagu dia boleh menghafal. Manakala Along juga begitu tetapi Along perlu mendengar dua kali barulah dia boleh menghafal tanpa meninggalkan sebutir perkataan pun. Begitu juga dengan makcik Seri. Mereka memang berdarah orang bijak pandai. Makcik Seri juga seorang tahfiz dan perlu mendengar tiga kali untuk mengingati setiap patah perkataan atau ayat al-quran mahupun karangan yang berjela. Namun kebolehan mereka ini tidak pernah dihebahkan kepada sesiapa kerana takut dikatakan riak.

Bukan Shah Fikri sahaja yang cuba mengorat Angah mahupun Along malahan ada beberapa lagi budak muda di kampung itu yang cuba memikat tapi masih tiada yang berkenan di hati mereka berdua. Lagipun mereka ingin melanjutkan sampai ke Mesir barulah fikir soal jodoh.

Kini Shah Fikri pula mengganggu Angah setiap hari. Di hati Angah tidak sedetik pun dia menyukai Shah Fikri malah dia merasakan Shah Fikri benar-benar menganggu lebih-lebih lagi di bulan ramadhan. Bagi Angah, Shah Fikir merupakan dugaannya di bulan puasa lebih-lebih lagi tak lama pula syawal menjelang.

“Wei! Termenung apa?” tanya Along.

“Along, orang tak sukalah budak lelaki yang apa nama dia tu? Shah Fikri tu kan. Dia tu menganggu tapi macam mana nak tolak dia dengan baik agar dia tak kecil hati tapi berpatah hati.” Munsykil Angah.

“Apa kata, Angah cakap dengan dia Angah ada kurap. Mesti dia lari.” Along tergelak kecil.

“Yelah, sekali tu, dia kata takpe sebab dia pun ada kurap juga. Welcome the club.” Angah tergelak kuat.

“Takpun Angah kata Ada penyakit misteri. Hah! Mesti dia takut dan lari.” Cadang Along lagi.

“Lepas tu dia kata, I tak kisah you. I terima you seadanya. Long, tu oven tu dah berbunyi kuih raya kita dah masak. Cepat! Boleh masukkan yang ni pulak.” Rungut Angah.

Angah masih tidak dapat fikirkan cara untuk menolak Shah Fikri. Dia tidak mahu berkeras kerana tidak mahu mengecilkan hati sesiapa. Angah mesti mencari jalan agar dia boleh menolak Shah Fikri dengan baik.

Sepanjang bulan ramadhan kemana sahaja dia pergi kat situ lah ada mamat sekor tu. Sehingga takbir bergema pun Angah rasa tak larat nak tengok muka mamat tu lagi.

“Assalammualaikum.”

Suara orang memberi salam itu membuatkan Angah berasa gerun. Dia bukan tak suka terima tetamu di pagi raya tapi tetamu ni boleh meloyakan tekaknya.

“Angah, jawab salam tu dan jemput dia masuk.” Lembut suara makcik Seri.

Angah tak dapat melawan, dengan hati yang marah dia mempelawa Shah Fikri masuk dan menjemput duduk.

“Betulke Shah Fikri berkenan sangat dengan Angah?” Tanya Makcik Seri.

“Ya, makcik saya ikhlas. Yelah, kalau dengan restu makcik saya sebenarnya nak hantar mak bapak saya.” Bersungguh Shah Fikri sambil memakan kuih batang buruk.

“Baiklah, makcik terima Shah Fikri.” Beritahu Makcik Seri.

“Makcik….” Marah Angah.

“Tapi dengan satu syarat, Shah Fikri hendaklah buat satu lagu istimewa untuk Angah. Lagu tu pastikan asli dan bukan cedok mana-mana lagu. Kalau lagu tu original dan dapat mencuit hati makcik mahupun angah. Makcik terima Shah Fikri. Hari raya ketiga datang semula ke rumah makcik.” Beritah makcik Seri.

Shah Fikri menggangguk-angguk tanda faham. Dia terus bersalam dan berlalu pergi. Baginya setakat nak mereka sebuah lagu untuk Angah tiada masalah kerana dia memang pelajar sastera malahan dia memang pandai bermain gitar. Kali ini dia yakin Angah akan terharu dengan bait-bait liriknya dan akan menerimanya.

Angah pula dah tiga hari bermasam muka dengan Makcik Seri kerana meletakkan syarat yang paling mudah untuk mamat yang memang suka menyanyi kat warung kopi.

Tiga hari dah berlalu, Shah Fikir dengan condifentnya datang bertamu di rumah Angah sekali lagi bersama gitar kapoknya. Bukan sahaja Angah akan terpikat malah makcik Seri juga akan terharu atas kepandaian dia menulis lirik.

Ku serahkan jiwa raga padamu,
Kan ku korban seluruh hidupku untukmu,
Yakinlah pada diriku duhai kekasih hatiku,
Tak mungkin kau kan terasa kekurangan dihatimu….

Sehingga baris terakhir yang pangangnya sepuluh rangkap Shah Fikri mendendangkan lagu ciptaannya.

“Maaf, makcik tak boleh terima Shah Fikri, sebab lagu tak original. Makcik dah pernah dengar lagu tu. Kan makcik kata makcik nak lagu yang di reka sendiri oleh Shah Fikri.” Makcik Seri bersuara sebaik sahaja Shah Fikri menghabiskan nyanyiannya.

“Makcik, memang tu lagu ciptaan saya. Original lagi. Saya takde ciplak kat mana-mana pun.” Tegas Shah Fikri.

Tiga malam dia bersekang mata mereka lagu itu dan mencari melodi yang sesuai. Mana Mungkin dia menciplak lagu orang lain untuk Angah kesayangannya.

“Betul, lagu tu memang makcik dah pernah dengar. Angah cuba nyanyi semula lagu tu.” Kata Makcik Seri.

Angah berkerut tapi dia menyanyikan semula lagu tu dari baris pertama sehingga akhir. Tiada satu perkataan pun yang tertinggal.

“hah! Kan makcik dah cakap, Angah pun dah pernah dengar dan biasa dengar sampai hafal lagu tu.” Beritahu makcik Seri.

“Tak, saya reka lagu tu sampai tak tidur malam.” Tegas Shah Fikri lagi.

“La!! Along pun pernah dengar. Along nyanyi pulak.” Suruh Makcik Seri.

Along pula menyanyi dengan lengok yang sama sehingga bait yang terakhir.

‘Tengok!! Kenapa ciplak lagu orang yang dah pernah buat. Kan makcik kata originallity tu penting.” Senyum Makcik Seri.

“Saya reka lagu tu, korang ni berpakat ye.” Ragu Shah Fikri.

“Hish! Makcik sendiri tahu lagu tu. Dengar ye……” Makcik Seri pula bernyanyi sehingga habis.

“Aaa..aa..lah..pelik lagu tu semua orang dah tahu. Maaflah, saya dah kecewwakan Angah. Saya janji takkan kacau Angah lagi. Saya minta diri dulu.” Shah Fikri pergi dengan menggaru kepala yang tak gatal.

Angah tersenyum lebar, baru dia faham kenapa makcik suruh Shah fikri mereka satu lagu, walaupun itu kepandaian Shah Fikri sebab makcik Seri lagi pandai. Angahkan tahfiz, hanya sekali dengar dia boleh menghafal dan menyanyikan semula. Kemudian Along juga tahfiz dua kali dengar selepas Shah Fikri dan Angah menyanyi dia pula dah menghafal. Kemudian makcik Seri juga tahfiz selepas tiga kali dengar selepas Shah Fikri,Angah dan Along. Makcik Seri juga sudah menghafal lagu itu. Dan kerana mereka semua memang tahfiz dan berjaya membuatkan Shah Fikri keliru dan tidak datang menganggu Angah kerana terlalu kecewa sebab kononnya lagunya tak original.
Setiap kali Syawal menjelang dia pasti akan teringat tragedi Syawalnya ini.




Saturday, September 20, 2008