Sunday, December 14, 2008

Tak Sedar Diri



Bagi mereka yang pengsan ataupun pitam, artikel ni takde mengena dengan korang. Korang bukannya boleh baca sambil pengsan pun. Tak sedar diri kat sini bermaksud mereka-mereka yang ada kesedaran dalam keadaan sedar seolah-olah akal fikiran kurniaan Tuhan tidak berfungsi. Takde otak senang cakap.


Tak sedar diri milik Allah
Ni biasa, rasa diri hak milik persendirian. Nak buat apa suka hati masing-masing. Orang lain jangan nak sibuk. Waima Pak Imam pun jangan banyak cakap, dok masjid diam-diam sudah. Apa korang nak buat dengan tangan, kaki, kepala, mata korang itu korang punya pasal-lah. Tak sedar tangan, kaki, kepala, mata korang tu le yang akan jadi saksi utama bila dibicarakan di High Court Rabbul-Jalil nanti. Buatlah apa korang suka sementara kat dunia ni. Akhirat belakang kira. Tu yang dapat buku akaun pahala dosa dari belakang.

Tak sedar Allah melihat
Oleh sebab korang tak nampak Allah jangan ingat Allah tak nampak apa yang korang buat. Ada satu riwayat tok guru pesan kat anak murid dia kalau korang nak buat dosa, buatlah, tapi pastikan korang buat dosa tu kat tempat yang Allah tak nampak korang. Kat mana tu? Kalau ada sila bagi tau kengkawan ye.

Tak sedar Allah mendengar
Cakap ikut sedap mulut. Bab agama pun dia buat lawak, fatwa dia perlekah-lekeh, Nabi dia kata orang biasa macam kita. Ingat Allah tak dengar ke? Waima korang berbisik pun akan direplaykan kat Mahkamah Mahsyar. Apa terlintas dalam hati pun Dia dengar. Hati korang yang tak beriman berkata-kata menolak kekuasaanNya, kebesaranNya, keesaanNya, semua tu ada rekod. Mana ada istilah 'off-the-record' sebenarnya. 

Tak sedar diri berdosa
Pahala dosa korang pakai matematik akal. Asal tak buat dosa-dosa besar, asal sembahyang lima waktu, boleh masuk syurga dah. Banyak cantek. Ngumpat tu macam mana kira? Makan riba? Rasuah? Fitnah? Syirik? Riak? Rembat hak orang? Tipu dalam bisnes? Tipu rakyat? Tipu laki? Tipu bini? Ke korang ingat semua ni sunat? Ada tanda halal? Makan kedai mamak boleh la mintak mamak kira, bab ni kena kira sendiri. Tak reti pergi mengaji.

Tak sedar diri nak mampos
Kita pergi melawat orang mati pun takde rasa apa-apa. Yang dah mati, mati la, korang hidup lagi. Masalahnya sampai bila? Lama lagi ke? Ingat malaikat Izrail nak buat appointment dulu ke? Tak tau ke si Izrael tu hari-hari melawat korang nak cek time korang dah sampai ke belum? Kita aje yang tak sedar. Rasa macam nak enjoy life lagi, rasa tak puas buat dosa lagi, rasa nafas tak semput lagi. Sah tak sedar diri.

Siapa Sombong



Sombong? Mana ada sombong...Ipoh mali tatak somong punyie...banyak la korang punya tak sombong.  Sesama manusia memang korang tak menyombong tapi dengan Tuhan kenapa korang sombong? Tak sombong korang kata? Cuba baca sikit.


Siapa sombong bodoh
Dah la sombong, bodoh plak tu.  Orang camni dia tak tau dia bodoh. Suruh pergi surau belajar agama dia taknak. Konon dah tau semua, cara nak solat, cara nak puasa, cara nak zakat, cara nak buat haji, naik haji dah dua kali. Bila anak tanya bab agama dia suruh tanya ustaz. Nak ngaku bodoh malu kat anak, nak pergi mengaji dia sombong. Tak ke sombong bodoh namanya tu?

Siapa sombong pandai
Ni masalah jugak. Bukan tak belajar agama, belajar sampai ke Mesir, Jordan, London. Masalahnya apa orang buat semua tak betul. Ini bidaah, itu sesat, ini khurafat. Macam la semua ilmu Tuhan dia tahu. Bukan ke Dia sahaja Yang Maha Mengetahui. Jangan la ingat awak je betul, awak je alim, awak je Tuhan sayang. Jangan sombong la.

Siapa sombong miskin
Miskin kat sini dalam sudut ilmu, amal dan iman. Miskin harta tak hina dari sudut agama, dah tu je yang Tuhan bagi, syukur dan sabar. Tapi kalau ilmu sikit taknak cari, amal sikit taknak tambah, iman ciput taknak usaha langsung, pakai Merce mata belalang pun tak guna. Orang ajak ke masjid taknak, sombong, rasa diri dah cukup. Kat dunia mungkin cukup, kat sana cukup jugak ke? Jangan dah baham tanah baru sedar diri muflis.

Siapa sombong kaya
Amal banyak, ilmu tinggi, iman tak dinafikan lagi tapi kenapa masih sombong? Mana tak sombong, diri dah rasa macam ahli syurga, orang lain ahli neraka. Rasa macam semua amal dah diterima dan perfect belaka, rasa darjat dah sama level dengan wali, rasa macam diri dah takde dosa. Malas nak cakap la tapi itulah yang dirasa oleh Iblis sampai title malaikatnya dilucutkan. Sombong punya pasal.

Siapalah kita
Kalau sedar diri, tak syok sendiri, tak meninggi diri, tu yang seelok-eloknya. Nak sombong apanya, paling standard pun kita, tetap hamba Allah. Hamba mana ada sombong. Takde dalam kamus diri. Lagi rendah hakikat kita sujud pada Yang Maha Kuasa, lagi tinggi darjat kita sebenarnya. Semua tu takkan kita tahu sebelum kita ke seberang sana, tempat yang kekal. Siapa nak sombong kat dunia biarkanlah dia perasan sorang-sorang.

Siapa kufur?



Kalau korang orang Islam atau paling koman pun kat IC tulis agama: Islam, maka korang gerenti bengkek bila orang senang-senang cop korang kafir. Pedulikkan la diorang. Tapi korang tau ke di sisi Tuhan korang tu Islam ke tak? Kalau boleh tanya direct senang, ni main agak-agak aje. Haru-biru-kelabu kalau tau-tau kat sana esok IC akhirat korang takde tulis Islam. Macam mana tu?

Siapa tolak Al Qur'an
Ni memang kompom al kafirun, takde khilaf atau konpius lagi dah. Qur'an kata gini-gini-gini korang taknak terima. Korang ikut kitab korang. Kitab Al Nafsu karangan...tulis nama korang kat muka depan tu.

Siapa tolak Nabi
Kalau Abu Jahal tolak nabi, nabi bangun balik. Nabi tak ambil hati punya sebab tahu Abu Jahal tu memang benci kat dia. Tapi korang yang tolak nabi, walau dalam hati, macam mana pulak tu? Ni bukan Abu Jahal tapi Abu Jahil. Kat mulut kata umat nabi tapi dalam hati kutuk nabi lumat. Nabi naik unta korang naik Merce, nabi pakai jubah korang pakai kot dengan tai. Korang sikit pun tak respek nabi. Apa cerita?

Siapa tolak Islam
Nama kemain siap ada nama nabi, bapak orang alim, keturunan ulama, tapi perangai alamak, malas nak komen. Korang memang tak tolak Islam, korang pergi solat jumaat seminggu sekali, korang puasa, zakat, naik haji setahun sekali, tapi bila bab perundangan Islam korang kata tak boleh pakai, perbankan Islam tak menguntungkan, hukum-hakam Islam tak melibatkan korang. Apa barang?

Siapa tolak Allah
Mana ada orang tolak Allah. Orang tak Islam pun ada yang mengaku adanya Allah. Budak belum baligh pun tahu siapa tu Allah. Habis tu masa korang buat maksiat Allah takde ke? Masa korang ambil rasuah, tipu orang, curi harta orang, monteng puasa, skip zakat, makan angin kat Mekah, semua tu Allah tak nampak ke? Ke korang ingat Allah hanya wujud dalam solat korang yang tak sampai lima minit tu aje? Ke cemana?

Siapa kita sebenarnya?
Semua orang Islam mengaku hamba Allah, bila bagi derma mintak orang tulis dalam resit 'hamba Allah', tapi hakikatnya betul ke korang tu memperhambakan diri pada Allah? Ke hamba siapa? Bukan hamba duit ke? Hamba bos? Hamba dunia? Hamba kepada hamba Allah yang juga tak memperhambakan diri pada Allah? Kalau apa yang Allah suruh korang tak buat , yang Allah larang korang selamba badak je buat, jangan tergezut la kalau korang nanti lepak dalam neraka forever and ever, macam orang kafir. 

Siapa Sesat



Zaman sekarang banyak sangat ajaran sesat, ajaran tak betul serta ajaran yang tak makan ajar. Kalau taknak sesat kena berguru, kalau taknak ikut jalan tak betul kena tanya guru dan kalau taknak belajar, tu tak boleh nak buat apa.



Siapa hilang arah
Sepanjang hayat kita main ikut aje. Orang buat apa kita ikut. Orang terjun lombong pun korang terjun sama. Mana satu arah menuju kebenaran korang tak tahu dan taknak ambil tahu. Bila orang kata korang sesat, korang hangin. Bila orang tak ikut korang kata sesat. Siapa yang tentukan betul dan sesat sesuatu jalan tu? Pemandu arah dah wafat lama dah, kitab suci pun korang dah lama tak buka. Hadis yang mana satu nak pakai pun korang tak tahu.

Siapa cari jalan sesat
Nak cari jalan yang benar, jalan yang lurus, jalan menuju Allah, semua melalui jalan ilmu. Nak berjaya kat dunia kena ada ilmu, korang tak nafikan tu sebab korang ada degree, master, PhD, maka nak berjaya kat akhirat pun kena macam tu jugaklah. Ni setakat belajar agama masa sekolah dulu takkan dah kira cukup kot? Setakat sijil PMR takkan orang nak ambil korang jadi CEO kot? 

Siapa menyesatkan
Dah nak cari ilmu akhirat jangan ingat apa saja boleh ambil buat i'tikad, semua main sumbat, apa dapat korang rembat. Hidayah tuhan tu macam cahaya yang menerangi bukan menggelapkan. Kalau gelap mata cari ilmu yang boleh digunakan untuk kejar dunia, kejar harta, kejar nama, kejar pengaruh, ilmu tu yang digelar ilmu yang tak berfaedah. Dah dapat sikit ikut nafsu nak mengajar orang pulak, nak orang pandang alim, nak dapat title ulama.

Siapa tak tau diri sesat
Ada setengah kita tak tau yang dia sesat. Tak tau apa itu sesat. Asal bunyi arab, ada sebut ayat tuhan, ada selit hadis nabi, semua korang ingat betul. Jangan takut belajar ilmu yang mengajar erti sebenar kesesatan supaya kita boleh kenal mana betul mana sesat. Macam bawak kereta ikut peta, jalan punyalah banyak tapi destinasi kena tahu. Kalau jalan nak tuju Tuhan kena ikut peta yang dah ditunjukkan Rasulullah s.a.w. Kena tahu mana one way, mana highway, mana jalan mati. Jangan dah mati baru nak patah balik.

Siapa kita nak ikut
Jangan ikut jalan yang sesak sebab semua yang terperangkap dalam kesesakan tu belum tentu tahu arah tuju. Tu sebab kena berguru, kena tahu guru tu nak bawa kemana ikut jalan siapa. Kalau destinasinya Allah dan jalannya Rasulullah s.a.w, insyaAllah tak sesat walau jalan yang ditempuh tak berturap, banyak halangan, banyak road-block. Istiqamah aje, maintain dan jalan terus. Selamat cari jalan dan selamatlah hendaknya kita semua. Amin.