Wednesday, July 30, 2008

Korang fikirlah sendiri

(Cerita ni aku tak tau le dah keluar ke belum kat Majalah Apo? tapi yang aku ingat artikel ni dah lama aku bagi kat Petai. Dah kot...entah!)

Pernah tak korang fikir sesuatu dan sesuatu tu benar-benar berlaku? Biasanya bila korang kena lampu merah, korang tentu terfikir lepas ni tentu banyak lagi lampu merah... dan memang betul lepas tu setiap simpang yang ada lampu trafik, korang kena lampu merah.
Nama aku Fikri. Masalah aku, semua yang aku fikir jadi kenyataan. Best korang kata? Banyak le.
"Kau tengah fikir apa Fik?" Zamri member aku memang tau sangat dengan kebolehan aku ni.
"Aku tak fikir apa-apa." Sebenarnya aku malas nak fikir pasal benda ni sebab boleh buat fikiran aku jadi celaru.
"Cuba la kau fikir pasal duit, boleh jugak kau belanja aku makan tengahari." Itu aje la yang si Zamri selalu fikir, nak makan free.
"Kalau kau nak tau, aku fikir kau ni tengah kopak sebab tu kau nak aku belanja makan. Betul tak?" Aku saje nak menyakat dia.
"Tolong sikit aaa...Aku ada duit lagi tau, baru cucuk kat ATM. Kau ingat aku tak mampu nak beli makan ke? Pelllease!" Zamri macam bengang je kat aku.
Selang berapa saat dia habis cakap ada seorang budak melintas kat depan kami dan Zamri entah macam mana terlanggar budak tu. Nak dijadikan cerita, budak tu tergolek dan kamera digital yang sedang dia pegang telah terhumban ke kaki lima. Kena pulak kamera tu pulak baru dia beli, tanda harga pun ada lagi. Disebabkan kejadian tu, Zamri kena ganti harga kamera budak tu yang dah berkecai sebab dia yang langgar sampai budak tu terjatuh. Sudahnya habis licin duit dalam walet Zamri. Nak taknak terpaksalah aku belanja dia makan tengahari tu.
Macam mana aku dapat kebolehan ni? Mulanya aku pun tak tahu aku ada kebolehan ni sampai aku beli satu buku tentang minda dan anda. Dalam buku tu dia cerita tentang kebolehan minda manusia yang kononnya tiada batasannya jika kita benar-benar percaya dengan apa yang minda kita boleh lakukan. Nak kaya? Nak berjaya? Nak hidup bahagia? Semua tu boleh kita capai dengan hanya memikirkannya dengan sepenuh hati dan tanpa kita sedari hajat kita akan terlaksana. Macam tak logik kan? Memang aku mula-mulanya tak percaya langsung, rasa bengang pun ada sebab duit aku habis buat beli buku yang mengarut tu. Rasa nak mencarut. Memang dah pun.
Entah macam mana, rasa tergerak hati pulak nak cuba teori yang disebut dalam buku tu. Masa tu aku nak exam, study tak seberapa tapi hajat hati nak score. Memang sebelum ni aku bukannya pernah score pun, kalau tak atas pagar, bawah pagar. Bukan taknak study tapi entah apa pasal tah otak ni macam dah tak boleh nak masuk dah. Kantoi jugak kalu, alamat tak grad la aku. So malam tu, sedang orang lain pulun baca buku pelajaran aku baca buku mengarut tu. Ni kalau tau kat mak bapak aku kat kampung gerenti kena hamun. Lain orang suruh baca lain pulak yang dibaca.
Diam tak diam sekarang aku dah grad pun, bukan cukup-cukup makan tapi dengan kepujian. Start pada tu aku mula percaya, walau tak seratus peratus tapi percaya la jugak. Sesekali bila rasa nak sesuatu aku praktikkan apa yang aku pelajari dalam buku tu dan hasilnya memang menakjubkan.
Sebagai contoh, masa aku nak interview kerja kat ofis yang aku kerja sekarang, aku bayangkan aku dah memang dapat jawatan yang ditawarkan. Aku siap print sendiri bisnes kad dengan nama aku...Mohd. Fitri Bin Abdullah, assistant architect. Tau-tau aku dah kerja kat situ, kompeni tu bagi aku bisnes kad sama macam yang aku buat cuma cantik sikit la. Kebetulan? Mulanya aku pun fikir macam tu jugak.
Nak tau kisah lampu trafik macam yang aku cakap awal-awal tadi? Percaya tak korang selama beberapa tahun aku dah kerja ni, tak pernah sekali pun aku kena lampu merah. Memanjang hijau! Kadang-kadang member aku naik hairan sebab apa bila diorang naik kereta dengan aku bila pergi meeting dengan client tak pernah terlewat walau seminit. Memang on time, everytime! Nasib aku baik? Mungkin jugak.
Ada sekali tu kompeni aku tengah ushar satu projek besar yang mana banyak lagi kompeni akitek lain pakat nak lobi dan kompeni-kompeni tu bukan calang-calang, kalau banding dengan kompeni yang aku kerja ni kira macam gajah dengan tapir. Diorang siap guna contact, offer gitu-gini, terjah pintu belakang dan macam-macam gaya lagi asalkan dapat bolot projek ni. Kompeni aku hantar proposal kering aje. Bos aku kata baik kitorang fokus kat kerja-kerja lain dari dok berangan nak dapat projek tu. Aku pun apa lagi, lain bos aku suruh, lain yang aku buat. Aku siapkan fail dan kertas-kertas pelan atas nama projek tu seolah-olah nak jalankan projek tu dah. Budak-budak yang kerja bawah aku semua kata aku gila, kuat berangan. Dua tahun kemudian, bangunan tu dah pun siap. Kompeni aku punya projek. Aku penolong akitek aje tapi aku tumpang bangga. Mat Jenin? Angan-angan yang menjadi kenyataan orang dah tak kata apa.
Minda kita ni macam jugak otot dalam badan kita. Lagi kerap kita pakai, makin lama dia jadi makin kuat. Benda yang awalnya sekadar nak mencuba makin lama jadi amalan. Bila hasilnya dah makin nampak maka makin seronoklah nak cuba benda yang lebih besar. Setakat ni pencapaian yang paling besar, aku menang kereta. Ada promosi stesen minyak yang menawarkan hadiah kereta BMW, cuma isi minyak dan kalau bertuah dapat le kereta tu. Aku bayangkan kereta proton cabuk yang aku pakai tu BM yang ditawarkan. Aku beli keychain BM, aku siap cungkil lambang rimau kat depan tu dan gantikan dengan lambang BM. Hari-hari aku isi minyak kat stesen tu dengan harapan aku dapat le BM tu. Setakat gaji aku, usahkan nak pakai BM, nak cium bau asap enjin BM pun belum tentu. Jiran-jiran aku semua pakat sindir-sindir bila nampak aku bawak proton berlambang BM tu. Yang bestnya bila hari aku bawak balik BMW yang aku menang tu. Seko-seko dah macam kera kena sampuk, bulat biji mata tak kata apa-apa.
Kenapa aku tak kongsi buku tu dengan orang lain? Gerenti korang ingat aku nak untung sorang, nak senang sorang. Bukan macam tu. Masa mula-mula baca buku tu, member-member pun ada baca sama. Semua setuju buku tu mengarut. Aku pun setuju. Sekarang aku tak fikir macam tu tapi aku tak tergamak nak syorkan buku ni kat orang sebab bukan sahaja ianya membuka laluan kepada kejayaan dan kebahagiaan, ianya juga membuka jalan kearah kehancuran.
Kadang-kadang kita ni takberniat nak buat jahat tapi fikiran jahat selalu bermain difikiran. Bila takde duit kita fikir nak rompak bank walau tak mungkin kita tergamak nak buat macam tu. Malangnya, fikiran aku ni dah tahap berhantu, tak boleh nak buat main-main dah. Menakutkan? Tuhan saja yang tahu.
Bila berurusan dengan orang yang berbagai ragam adakalanya kita naik geram. Salah seorang client aku tu memang cerewet nak mampus. Entah berapa kali ubah pelan dah, ada saje dia nak tukar. Bukan projek besar mana pun, rumah banglo aje tapi kerenahnya lagi leceh dari nak design airport. Pendeknya tiap kali balik dari meeting dengan dia gerenti berbakul-bakul sumpah seranah yang kitorang lontarkan. Aku mulanya malas nak ambil hati sangat sebab benda-benda ni akan buat kita jadi tak ceria dan aku akan pastikan aku akan ceria sentiasa supaya fikiran aku sentiasa clear. Tapi kita kan manusia.
Entah apa kena client tu hari tu, dah le cerewet, komplen kemain, siap marah-marah pulak tu. Rakan sekerja aku dah terdiam. Aku cuba nak eksplen tapi lagi banyak aku cakap lagi tinggi nada percakapannya. Last sekali aku cakap pergi mampos. Petang tu aku kena panggil dengan bos.
"Saya mintak maaf Bos, saya terlepas cakap masa meeting dengan Mr. Chong tadi." Aku konfiden yang client tu dah komplen kat bos tentang sikap aku masa meeting dengan dia tadi.
"Pelan banglo dia dah sampai tahap mana dah?" Bos aku nampak macam tak marah walaupun dia memang garang orangnya.
"Patutnya dah settle tapi dia mintak kitorang ubah lagi plan tingkat satu sebab dia nak tambah bilik lagi satu." Aku ingat nak cover balik kesilapan yang dah aku lakukan.
"Macam ni lah, Projek rumah Mr. Chong tu kamu KIV dulu." Muka bos macam blank aje. Takkan sampai nak batalkan projek kot?
"Takpe bos, kitorang boleh settlekan plan tu minggu ni jugak sebelum jumpa dia balik minggu depan." Aku cuba jugak nak pujuk bos.
"Tak payah. Mr. Chong dah takde." Bos macam blur. Macam tergamam pun ada. Aku lagi le. Terbangang sekejap.
Aku dapat tahu dari bos yang client tu dah meninggal. Eksiden kereta. Badan putus dua. Nak buat macam mana dah ajal dia tapi aku rasa punyalah susah hati macam aku ni dah bunuh orang.
Ada sekali tu seekor anjing datang kejar aku tengah berjogging kat kawasan tempat aku tinggal. Aku mintak-mintak sangat anjing tu mampos. Memang betul, belum sempat anjing tu sampai dekat, dia kena langgar kereta. Betul-betul depan mata aku.
Bila dua orang peragut bermotosikal melarikan beg tangan seorang makcik tua dan aku yang kebetulan ada berdekatan bayangkan mamat dua ekor tu tergolek. Memang keduanya jatuh tergolek kerana motosikal yang dinaiki tergesel dengan sebuah kereta. Lepas tu datang lori tanah sapu kedua-duanya. Aku tak mintak sampai ke tahap tu tapi itulah yang berlaku.
Berbalik tentang lampu trafik tu. Kalau dulu memanjang hijau, sekarang asal jumpa gerenti merah. Sepuluh kali jumpa sepuluh kali kena berhenti. Tak boleh nak bayangkan betapa bengang serta bengkeknya hati ini. Kalau jumpa yang hijau pun tentu ada polis trafik tahan sebab nak kawal lalulintas yang jem. Malang? Memang nasib aku bertambah malang bermula dari saat tu.
"Jangan percaya pada nasib. Semua yang berlaku tu kuasa tuhan. Kita manusia mana ada kuasa." Abah pesan bila aku cerita benda ni kat dia.
"Abah dah baca buku tu?" Aku tau abah dah baca buku tu tapi saja la tanya nak tau pendapat dia.
"Dah... tapi buku tu manusia yang tulis." Abah macam tau niat aku bertanya dan dia taknak aku percaya sangat benda yang aku baca.
"Baik kau baca Quran. Ada baca tak?" Ni soalan cepu emas. Macam tau-tau je abah aku ni.
"Baca Yasin malam Jumaat selalu la" Jawapan selamat untuk cover diri. Abah senyum aje.
"Faham ke?" Tak habis lagi rupanya.
"Kot Arab. Mana la orang paham." Kantoi jugak aku kali ni.
"Buku Mat Saleh boleh faham. Quran kot Arab tak boleh nak faham" Dah agak dah, orang tua ni mesti nak kenakan aku.
Mulai hari tu aku mula belajar bahasa Arab, mula pergi masjid belajar Al-Quran, belajar tauhid, belajar fekah, belajar tasawuf. Banyak benda yang aku kena belajar. Baru aku tahu banyak benda yang aku tak tahu dan selama ni buat tak tahu.